my blog presentations

Social Network Presentation

Sunday, February 3, 2013

Melayu Islam Beraja Assignment

Soalan: Sejauhmanakah pentingnya peranan dan tanggungjawab para belia dalam mempamerkan ciri-ciri peribadi.Bincangkan….

Belia adalah individu yang berumur di antara 14 hingga 25 tahun,sama ada masih belajar ataupun sudah bekerja.Dalam peringkat usia begini,mereka sedang mengalami perkembangan dan pergolakan jiwa dan emosi yang menyebabkan mereka selalu merasa resah dan gelisah.Mereka memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar daripada ibu bapa ,guru dan orang dewasa.Oleh yang demikian golongan belia perlulah diberikan kesedaran yang tinggi dan dorongan yang sihat serta untuk maju ke hadapan kerana belia adalah aset negara yang bakal menjadi pemimpin.

Belia yang dikatakan sebagai aset negara mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam memberikan sumbangan terhadap pembangunan negara.Penglibatan belia itu termasuk dalam pelbagai bidang pembangunan dan kemajuan seperti sosial ,budaya , ekonomi ,sukan dan olahraga, elektronik, kejuruteraan, perbuatan,perindustrian,pertanian dan lain-lain.Di samping itu,belia-belia juga perlu memelihara disiplin diri,mengamalkan sikap bermoral dan berakhlak mulia,menjaga keselamatan dan ketenteraman sekelilingnya dan mentaati perintah guru,ibu bapa serta agama.

Seseorang belia itu boleh memainkan peranan dan tanggungjawabnya terhadap pembangunan negara melalui pelbagai cara yang sesuai dengan kemampuan dan kebolehannya seperti memberi sumbangan kewangan, buah fikiran dan tenaga kepada mana-mana pihak yang memerlukannya.Di samping itu,ada juga belia-belia yang dapat melakukan kerja-kerja amal,berkhidmat dengan kerajaan ,swasta atau persendirian.

Penglibatan para belia dalam badan-badan dan persatuan berpakaian seragam juga boleh mewujudkan hubungan yang muhibah dan perpaduan.Belia-belia juga dikehendaki aktif dalam kegiatan kampung,misalnya menjadi ahli kejiranan kampung atau mukim agar sama-sama ikut serta mengawasi keselamatan,ketenteraman dan kesejahteraan penduduk kampung.Peranan dan tanggungjawab  asas para belia ialah menjaga harta benda kerajaan,orang awam,memelihara keindahan alam sekitar,melaporkan sebarang kegiatan yang bertentangan dengan undang-undang  negara dan agama kepada pihak berkenaan dan sebagainya.

Dalam kita menghadapi ledakan kemajuan teknologi maklumat,seorang pelajar hendaklah mempunyai ciri-ciri peribadi yang mampu menjamin survival dirinya dalam arus kemajuan zaman dan seterusnya mampu memberi sumbangan dalam pembangunan bangsa dan negara supaya selari dengan keperluan zaman.
Sejarah telah membuktikan bahawa falsafah sesebuah negara itu dapat mempengaruhi pembentukan rakyat.Ciri-ciri peribadinyang hendak dibentuk itu berkaitan dengan cici-ciri yang terkandung dalam falsafah yang dipegang.

Negara Brunei Darussalam sebuah negara Melayu yang menjadikan islam sebagai agama dan cara hidup rakyat.Dalam pada itu kita berusaha menanamkan ciri-ciri peribadi yang bertepatan dengan falsafah negara bagi melahirkan rakyat yang bercalakkan Brunei sejati dan bercirikan Melayu Islam Beraja.

Usaha tersebut menjadi norma budaya “orang Brunei sejak bertapaknya Islam di negara ini.Lebih-lebih lagi apabila Awang Alak Betatar memeluk agama Islam,ciri-ciri falsafah Melayu Islam Beraja sudah mula ditanamkan dalam peribadi setiap rakyat untuk melahirkan rakyat yang bersemangat Melayu,berkeyakinan islam dan berlindung di bawah naungan raja.Apabila kita imbas kembali peristiwa Perang Kastila,rakyat Brunei yang Cuma bersenjatakan besi-besi tajam mampu mengusir angkatan tentera Sepanyol daripada menakluk negara ini.semangat dalam mempertahankan maruah bangsa,kesucian Islam dan kedaulatan raja kunci kejayaan mereka.Seandainya ciri-ciri peribadi berkenaan tidak ditanamkan dalam jiwa rakyat sudah pasti pengembangan agama Kristian akan berlaku di negara ini.

Oleh itu,falsafah Melayu Islam Beraja adalah calak yang paling ideal dalam proses pencambahan dan pemantapan ciri-ciri peribadi rakyat.Apabila rakyat Brunei mempunyai ciri-ciri peribadi calak Brunei,selain menjamin survival kita,ianya juga membawa proses pembangunan negara dalam setiap aspek kehidupan lebih sempurna.

Antara ciri-ciri peribadi Melayu Islam Beraja(MIB) itu dapatlah dilihat dalam bentuk pengalaman hidup orang Brunei dan masyarakat di Brunei tentang kemelayuaan,keislaman dan berajanya seperti berikut:

·         Awar galat
·         Mematuhi adat
·         Lutanan
·         Timbang rasa
·         Berdisiplin
·         Rajin
·         Dedikasi
·         Tahan lasak
·         Komitmen

·         Semangat kebruneian
·         Istiqamah
·         Penyabar
·         Pemaaf
·         Amanah
·         Bercakap benar
·         Menepati janji
·         Murah hati
·         Malu
·         Ikhlas
·         Penuh yakin
·         Reda
·         Sentiasa mematuhi undang-undang
·         Taat setia
·         Bersopan santun
·         Kritis
·         Kreatif


Ciri-ciri di atas adalah proses percambahan dan pemantapan peribadi rakyat Brunei dari dahulu hingga sekarang.Perbezaannya terletak kepada ciri-ciri itu ditanamkan pada zaman dahulu,ciri-ciri itu ditanamkan secara tidak formal,maksudnya norma kehidupan orang-orang Brunei sememangnya penuh dengan ciri-ciri di atas.Oleh itu mereka menerima ciri-ciri berkenaan dalam suasana kehidupan yang sedia ada dan bersifat ‘menerima’ secara tradisional tulen.

Pada masa ini,proses percambahan dan pemantapan ciri-ciri tersebut dijalankan secara formal iaitu melalui mata pelajaran di peringkat menengah dan di peringkat tinggi.Sebagai contoh di Universiti Brunei Darussalam,setiap mahasiswa dan mahasiswi tempatan atau luar negeri diwajibkan lulus kuliah MIB.Di antara lain tujuannya adalah untuk melahirkan rakyat yang berilmu dan berperibadi yang mengandungi ciri-ciri MIB di atas.


Belia beridentitikan Islam

Dalam melaksanakan pembangunan negara,peranan belia amat penting.Belia merupakan golongan yang paling ramai dalam sesebuah negara,justeru itu belia merupakan aset sebuah negara.Kemajuan dan kemunduran negara ditentukan oleh para belianya.Negara akan maju dan berkembang jikalau belianya maju.Sebaliknya negara akan mundur jikalau belianya  mundur.Adalah menjadi tanggungjawab dan tugas sebuah negara melengkapkan para belianya dengan identity yang bersesuaian dengan yang dikehendaki.Bagi Negara Brunei Darussalam yang mengamalkan falsafah Melayu Islam Beraja dan Islam dijadikan landasan dan pegangan hidup.Sudah setentunya kita menghendaki para belia beridentitikan Islam.Identiti Islam tergambar atau tercermin dalam pelbagai-bagai aspek kehidupan antaranya menerusi ilmu pengetahuan,cara berpakaian ,akhlak mulia ,dan sebagainya.

Belia Berilmu

Agama Islam menekankan dan menganjurkan umatnya menuntut ilmu tidak kira ilmu akhirat atau dunia (fardhu ain dan kifayah).Anjuran ini ditegaskan dalam hadis Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang terjemahannya tuntutlah ilmu sampai ke liang lahad.Daripada hadis tersebut memberi suatu gambaran bahawa menuntut ilmu itu sangat penting dalam kehidupan.Dengan ini sewajarnyalah para belia menuntut ilmu pengetahuan kerana ilmu boleh menyinari atau menerangi kehidupan manusia daripada kegelapan.Dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki para belia akan dapat membantu negara dalam melaksanakan pembangunan dalam pelbagai bidang.Hasil daripada pembangunan tersebut kemakmuran dan kesejahteraan hidup dapat dinikmati oleh penduduk negara ini.
Cara berpakaian

Menutup aurat adalah wajib ke atas lelaki dan perempuan.Islam juga menegaskan cara menutup aurat yang dituntut kepada umatnya.Perempuan wajib menutup seluruh anggota badan kecuali muka dan dua tapak tangan.Manakala kaum lelaki auratnya di antara pusat hingga lutut.Selain daripada itu Islam juga menggalakkan umatnya berpakaian bersih dan kemas.Justeru itu belia di negara ini harus menyedari betapa pentingnya berpakaian menutup aurat,bersih dan kemas.Seboleh-bolehnya para belia hendaklah berpakaian yang sesuai dengan keadaan dan tempat.Elakkanlah berpakaian yang boleh mencemarkan diri sebagai umat Islam.

Setiap bangsa di dunia ini memiliki pakaian kebangsaan masing-masing,begitu juga di negara ini.Biasanya pakaian yang dipakai menggambarkan kebudayaan kita sebagai umat Islam dan orang Timur.Dalam apa jua suasana dan majlis bagi kaum lelaki memakai pakaian baju cara Melayu dan baju kurung lengkap dengan tudung bagi kaum perempuan.

Berakhlak mulia

Belia yang beridentitikan Islam mestilah mempunyai aklak mulia melalui percakapan dan perlakukan sebagaimana yang diajarkan dalam Islam .Akhlak mulia yang dituturkan oleh Islam antaranya tutur kata yang lemah lembut , menepati janji , sabar , hormat , pengasih dan penyayang ,  rajin dan lain-lain .Dalam kehidupan sehar- hari para belia sering ditekankan supaya mempunyai  sikap hormat kepada orang tua terutama ibubapa ,  pemimpin ,  ketua , sahabat , jiran dan sebagainya.Sikap hormat ini akan menimbulkan perasaan kasih dan sayang sesama kita yang boleh mengukuhkan perpaduan masyarakat.Oleh itu masyarakat akan hidup aman damai dan bersatu padu.Kesepaduan masyarakat akan membantu meningkatkan kelancaran dan kepesatan pembangunan Negara.Sebaliknya pembangunan akan tergendala sekiranya masyarakat sudah tidak mempunyai rasa hormat antara satu sama lain. Kelunturan sikap hormat dalam jiwa masyarakat akan menimbulkan kebencian dan permusuhan yang mengakibatkan persengketaan dan peperangan.

Dalam menghayati dan mengamalkan falsafah Melayu Islam Beraja , sudah tentu sikap dan kegiatan para belia yang beridentitikan Islam akan dapat membawa kebahagiaan , kemakmuran dan kesejahteraan Negara.
Sifat dedikasi

Belia adalah bakal pemimpin pada masa hadapan.Merekalah yang akan bertanggungjawab membangun Negara ini bagi meneruskan usaha-usaha yang sedang dibuat oleh para pemimpin pada masa ini .Oleh yang demikian , para belia mestilah bersiap sedia melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang cukup bagi memikul tanggung jawab tersebut. Dalam hal ini , para belia mestilah mempunyai sifat dedikasi , iaitu bersungguh-sungguh , tekun , penuh minat, berdisiplin dan tidak pernah putus asa dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Para belia yang masih menuntut di sekolah- sekolah menengah , mkatab-maktab dan institusi-institusi pengajian tinggi sama ada di dalam dan di luar negeri mestilah belajar dengan bersungguh-sungguh , rajin , penuh minat , tekun , berdisiplin terhadap pelajaran , membuat dan menyelesaikan semua tugasan yang diberi dengan sempurna.Dengan sikap dedikasi seperti ini , mereka akan berjaya dengan cemerlang dalam pelajaraan. Amalkanlah sikap dedikasi sehingga menjadi tabiat dan landasan budaya hidup sehari-hari. Jikalau sikap dedikasi sudah menjadi budaya hidup para belia, maka potensi untuk menjayakan rancangan-rancangan pembangunan Negara amatlah besar.Dalam hal ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah ,  Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pernah betitah di Majlis Konvokesyen Kesembilan Universiti Brunei Darussalam pada 13 September 1997 bersamaan 22 Jamadilawal 1419 , antara lain berbunyi :
           
      “….. mereka tidak cukup setakat memiliki kelulusan semata-mata , tetapi kelulusan itu mestilah ia dihias dengan akhlak mulia , sikap dan pembawaan yang terpuji. Mereka juga mesti kaya dengan pemikiran kreatif , inovatif serta semangat ingin bersaing , bukan setakat ingin lulus untuk mendapatkan perkerjaan.”

Sifat dedikasi bukan sahaja perlu ada semasa belajar di bilik darjah , tetapi juga semasa melakukan aktiviti luar seperti bersukan dan kegiatan-kegiatan ko-kurikulum yang lain. Sikap dedikasi dapat melatih dan mengembangkan minat dan kebolehan belia kerana Negara kita memerlukan kecermelangan dalam berbagai bidang termasuk sukan dan kebudayaan.

Para belia biasanya terlibat dalam berbagai-bagai kegiatan kemasyarakatan misalnya kerja memucang-mucang seperti membersihkan tanah perkuburan , membina jambatan , majlis suka dan duka , dan lain-lain.Mereka diberi tugas untuk sama-sama membantu melaksanakan sesuatu pekerjaan.Jika pekerjaan itu dibuat dengan tekun, bersungguh-sungguh dan dedikasi bukan sahaja pekerjaan itu dapat dilaksanakan dengan sempurna , malah berbagai kemahiran amali akan dapat dikuasai.Sebaliknya jika penglibatan belia dalam kegiatan kemasyarakatan dilakukan tanpa dedikasi; yakni dibuat sambil lewa sahaja maka sudah tentulah hasilnya tidak sempurna dan akan mengecewakan masyarakat.Seterusnya pemindahan ilmu dan kemahiran seperti yang diharapkan tidak akan terjadi.Ini akan merugikan belia itu sendiri dan juga menghampakan harapan masyarakat dan Negara.

Pada cuti penggal persekolahan beberapa pihak tertentu biasanya mengadakan pelbagai program pembangunan.Acara-acaranya termasuk mendengar ceramah , membuat lawatan-lawatan ke jabatan-jabatan kerajaan , perkhemahan , mempelajari beberapa kemahiran seperti komputer  , kelas menaip dan perdagangan serta urusan rumahtangga.Program seperti ini sangat berfaedah kepada para belia bagi menambah pengetahuan dan pengalaman.Namun begitu , program-program yang dijalankan tidak akan mencapai sasarannya tanpa penglibatan yang bersungguh-sungguh daripada para belia.Semasa menjalani program tersebut para belia mesti melibatkan diri secara aktif dan penuh dedikasi.

Selain tugas atau aktiviti yang tersebut , tiap-tiap belia menjadi ahli kepada keluarga masing-masing.Walau apa pun aktiviti yang mereka lakukan , sehabis sahaja tugas dilaksanakan belia akan kembali ke rumah masing-masing.Di rumah terdapat sesetengah keluarga kerja-kerja pengurusan rumah dilakukan oleh ahli berkenaan.Memang tidak salah menyerahkan tugas itu kepada ibubapa atau pembantu tetapi ini tidak bermakna belia boleh berlepas tangan. Belia perlu membantu melakukan kerja-kerja rumah.Dengan kemahiran itu belia tidak akan mengalami kesusahan apabila ditakdirkan berjauhan dengan keluarga.Untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran ini juga perlu bersifat dedikasi.

Kesimpulannya sifat dedikasi mestilah menjadi amalan para belia di dalam apa jua pekerjaan yang mereka lakukan baik kerja sekolah , kerja luar sekolah , kerja rumah mahu pun yang lain-lain.Setiap belia sepatutnya menjadikan sifat dedikasi itu sebagai tabiat yang berterusan kerana Negara memerlukan pemimpin , pekerja dan rakyat yang berdedikasi terhadap tugas masing-masing.Sikap yang demikian akan menentukan kemajuan dan kejayaan sesuatu tugas dan bertanggunjawab yang diamanahkan kepadanya.
Komitmen

Komtmen (iltizam) bermaksud sikap memberikan sumbangan yang berupa tenaga dan perhatian atau menunjukkan keterlibatan dan azam yang bersungguh-sungguh kepada pekerjaan atau kegiatan.Contohnya melibatkan diri dalam acara kebajikan atau keraian seperti perayaan kebangsaan ,kampung ,daerah ,sekolah dan sebagainya.Sikap Komitmen patut disemai dan dipupuk dalam diri belia agar mereka menjadi seorang yang peka dan bertanggungjawab dalam hal-hal berkebajikan dan bersedia memberikan sumbangan serta bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara.

Bukan mudah untuk mendidik atau menanamkan sikap Komitmen dalam diri seseorang.Ini perlu penyemaian dan pendedahan dari peringkat awal.Ibubapa,guru dan masyarakat ikut terlibat dalam penyemaian sikap ini.Sebagai tindakan awal ibi bapa mestilah memainkankan peranan penting dalam membina dan menyemai sikap ini dalam diri anak-anak.Ibubapa harus menanamkan sikap komitmen dalam sanubari anak-anak supaya mereka bersedia menyumbangkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.Misalnya anak-anak dididik supaya rajin membantu ibubapa dalam melakukan kerjarumah.Anak-anak yang sentiasa terdedah kepada Semangat bekerjasama dan penuh Komitmen akan menjadi seorang belia yang bertanggungjawab.Semangat bertanggungjawab dalam melaksanakan setiap pekerjaan yang diamanahkan kepadanya harus dipupuk dari masa ke semasa.Tanpa penyemaian sikap ini,anak-anak akan membesar menjadi seorang yang suka mengabaikan tanggungjawabnya terhadap keluarga dan kerjayanya.Mereka akan menjadi seorang yang mementingkan diri sendiri.

Jiran dan masyarakat juga harus terlibat menyemai sikap ini terutama kepada para belia di kampung mereka.Masyarakat kampung sewajarnya melibatkan para belia dalam kerja-kerja berkebajikan yang dianjurkan oleh persatuan kampung,misalnya, kerja bergotong-royong seperti membersihkan kubur,kawasan masjid,majlis perkahwinan dan lain-lain.

Alam persekolahan merupakan tempat yang paling sesuai dan mudah untuk menanamkan sikap ini.Para pelajar di galakkan mengikuti kegiatan-kegiatan suka rela yang dianjurkan oleh pihak sekolah.Asuhan demikian dapat membantu para pelajar mengisi masa lapang mereka dengan kerja-kerja yang berfaedah.Kegiatan ini dapat menghindarkan para pelajar dari terlibat dengan hal-hal yang bersifat negative dan membuang msa.

Apabila sikap Komitmen ini sudah sebati dalam diri seseorang belia dengan sendirinya, sikap ini dapat membantu mereka untuk memberikan bantuan dan sumbangan terhadap bangsa dan negara.Tanpa adanya sikap ini sudah tentu menyulitkan belia untuk memberikan sumbangak kepada tanah air.

Para belia digalakkan menyertai persatuan supaya mereka dapat menanamkan sikap positif dan bekerjasama secara berkempulan.Amalan demikian akan memudahkan para belia menyesuaikan diri dengan kerja-kerja berkebajikan.Apa lagi pada zaman serba canggih ini semua kegiatan sukarela dan berkebajikan dapat dilaksanakan dengan mudah dan cepat asalkan ada sumber kewangan.Kebanyakkan kerja-kerja di majlis perkahwinwn seperti memotong daging ,mengatur hidangan, melayan tetamu dan sebagainya dahulunya dilakukan secara bergotong-royong dan sebagainya.Sikap bergotong-royong pada masa ini sudah semakin terhakis dalam masyarakat kita.Seandainya para belia dilatih mempunyai sikap komitmen sudah tentu pengendalian majlis-majlis di kampung akan lebih meriah dan boleh menjimatkan masa dan wang.Secara tidak langsung perhubungan kekeluargaan lebih mesra dan rapat.

Kita dapat bayangkan apa yang akan terjadi terhadap masyarakat atau negara seandainya para belia yang bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang tidak mempunyai sikap Komitmen.Pembangunan dan perekonomian negara akan terjejas.Kemungkinan akan mewujudkan sikap memerlukan imbalan dalam melakukan bantuan atau pertolongan.

Berdisiplin

Disiplin ialah latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri dan patuh(taat) pada peraturan yang ditetapkan.Mengikut pemikiran moden disiplin adalah pengawalan yang sepatutnya dibina di dalam diri seseorang bagi mendapatkan cara hidup yang teratur dan bersistematik supaya masa dan tenaga seseorang itu dapat digunakan dengan sebaik-baiknya untuk mengeluarkan hasil sebanyak-banyaknya.Dalam mempersiapkan dan melengkapkan diri sebagai seorang belia yang cemerlang disiplin merupakan faktor utama yang perlu ada dalam diri dan sentiasa diamalkan dalam apa jua perlakuan.Tanpa disiplin ciri-ciri belia yang baik itu tidak akan tercapai.Malah setiap perbuatan atau kegiatan akan menemui kepincangan dan kemusnahan.

Sebenarnya disiplin itu bermula di rumah,ibu bapa yang mengasuh dan mendidik anak-anak mereka supaya menjadi individu yang berdisiplin.Ibubapa telah mengajar anak-anak supaya menghormati orang tua dan menanamkan nilai-nilai akhlak yang baik,bertatatertib,Bersopan santun dalam lingkungan masyarakat.Semua yang ditekankan oleh ibu bapa itu sebenarnya merupakan bibit-bibit disiplin.Anak-anak yang membesar dalam lingkungan keluarga yang sentiasa mematuhi suruhan dan meninggalkan larangan,sudah pastilah akan menjadi individu yang baik dan berdisiplin.Sebaliknya kalau anak-anak yang dibiarkan berkembang atau membesar bersendirian tanpa menghiraukan nilai-nilai disiplin yang baik,akhirnya anak-anak tersebut akan menjadi seorang yang tidak berdisiplin dan lebih mementingkan diri sendiri.

Disiplin terus ditanamkan dalam diri anak-anak apabila mereka berada dalam alam persekolahan.Di sekolah anak-anak diasuh supaya mentaati dan mematuhi segala peraturan.Amalan-amalan mematuhi peraturan di dalam sekolah dan bilik darjah dapat membantu melahirkan pelajar-pelajar yang berdisiplin.Sebaliknya pelajar yang selalu melanggar peraturan sekolah merupakan pelajar yang bermasalah dan mengganggu ketenteraman dan keharmonian sekolah.

Berbagai-bagai usaha dapat dilakukan untuk menanamkan disiplin dalam diri individu,misalnya menerusi kegiatan yang dirancang.Para pelajar digalakkan menyertai persatuan atau kelab di peringkat sekolah.Di sekolah juga ditubuhkan pasukan berpakaian seragam seperti kadet tentera,polis,pengakap atau pandu puteri.Dengan menyertai persatuan atau pasukan seperti ini akan dapat membentuk pelajar atau belia berdisiplin kerana pertubuhan ini menentukan peraturan dan disiplin yang mesti dipatuhi oleh ahli-ahlinya.

Penglibatan diri dalam Sukan juga boleh menanamkan sikap disiplin dalam diri seseorang kerana setiap permainan atau Sukan ada peraturan-peraturan tertentu yang harus dipatuhi.Dengan mematuhi segala peraturan secara tidak langsung dapat melatih diri seseorang untuk berdisiplin.
Selain daripada itu,untuk mengajar diri sentiasa mematuhi peraturan,seseorang juga digalakkan merancang kegiatan harian seperti mengadakan jadual belajar dan membuat kegiatan luar.Apabila kita berjaya melakukan kegiatan yang kita rancang sebagaimana yang dijadualkan ,dengan sendirinya kita akan membentuk diri kita sebagai seorang yang berdisiplin.Memang diakui untuk menanamkan sikap berdisiplin dalam diri seseorang bukan kerja yang mudah.Tidak ada jalan pintas untuk melahirkan seseorang yang mempunyai disiplin baik,melainkan memerlukan pengorbanan,ketabahan dan kesabaran serta harus dimulakan dari peringkat awal.

Belia merupakan pelapis pemimpin masa akan datang,memang wajar mempunyai disiplin yang baik.Belia yang tidak berdisiplin sudah tentu tidak mampu atau dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan cemerlang.Seandainya sebuah negara mempunyai belia yang berdisiplin,sudah pasti kemajuan dan pembangunan negara dapat berjalan lancer dengan jayanya.Kita dapat bayangkan jika belia tidak berdisiplin sudah pasti akan menjadi beban negara kerana bermacam-macam gejala sosial akan berlaku sehingga pemerintah tidak dapat menumpukan perhatian dalam pembangunan negara.Akibatnya kemajuan dan pembangunan negara akan terbantut.




No comments:

Post a Comment